Kepada : FAUZIAH ASHARI

Dahulunya saya ingin meminta maaf kerana menaip cerita hasil novel kak Fauziah. Saya menaip cerita ini kerana terlalu minat dengan cerita ini dan ingin memberitahu kepada semua orang terutama kepada lelaki yang suka melakukan perkara bodoh kepada kaum wanita yang mereka menggangapkan kaum kita adalah kaum lemah. Selain itu, saya ingin semua tahu cinta adalah segalanya. Tak kira cinta padaNYA atau cinta sesama sendiri. Dengan itu, saya mahu novel hasilan kak Fauziah diketahui ramai. Akhir sekali kepada semua pembaca blogger ini, novel sulung kak Fauziah bertajuk PERGILAH SEPI. Rugi jika tidak membaca novel itu. Kisahnya sangat tersentuh hati dan menarik. Kepada pembaca, teruskan membaca novel yang bertajuk OMBAK RINDU ini yang dihasilkan oleh FAUZIAH ASHARI yang anak kelahiran BATU PAHAT, JOHOR ini.

Khamis, 13 Mei 2010

Bab 1

"Izzah..! Aku nak kau kerja di kelab malam tu! Kau dengar tak ni! Sama ada kau suka ataupun tak, kau mesti ikut cakap aku. Pendapatannya lumayan. Kau boleh kaya dengan sekelip mata aje."
Suara Pakcik Taha keras. Wajahnya serius. Renungannya cukup tajam. Bagaikan hendak terkeluar biji mata lelaki itu merenung anak saudaranya itu. Izzah terkulat - kulat di tepi tiang seri ruang tamu.
Rumah papan kediaman mereka kelihatan usang. Semakin tidak bermaya mata yang memandang dengan cahaya lampu yang suram. Rumah Pakcik Taha terletak jauh cari rumah jiran tetangga menyebabkan dia bebas melakukan apa sahaja terhadap Izzah. Jeritan, sepak teranjang dan segala maki hamun sudah lali di telinga dan tubuh Izzah.
Kata - kata Pakcik Taha tadi tidaklah selantang mana tapi Izzah dapat merasakan nadanya serius. Dia semakin gementar. Tanpa diundang, airmata sudah mengalir perlahan - lahan.
"Tak nak pakcik. Itu tempat maksiat. Izzah.... Izzah tak suka. Izzah nak belajar lagi." jawab Izzah dengan takut - takut.
"Nak belajar apalagi! Buang duit aku aje. Esok, kat ceruk dapur tu jugak tempat kau. Kerja kat kilang tu berapa sen yang kau dapat. Esok kau berhenti kerja. Aku nak kau jumpa tauke kelab malam tu."
Pakcik Taha keras dengan keputusannya. Makcik Hajar hanya tersenyum memandang suaminya. Kemudiandia mengalihkan pandangan kepada Izzah yang sedang menangis teresak - esak. Dia gembira kerana Izzah digunakan untuk mengaut kesenangan.
Itulah perjanjian mereka dengan tauke kelab malam itu. Perjanjian untuk melangsaikan segala hutang - piutang. Bukan itu sahaja malah mereka suami isteri akan mendapat habuan jika Izzah bekerja di kelab malam itu.
"Tapi pakcik..."
Izzah cuba membantah. Ayat yang telah diatur sejak kemarin tidak terkeluar. Lidahnya kelu. Jelingan tajam Pakcik Taha menakutkan dia. Dua hari lepas, Pakcik Taha sudah mengajukan padanya tentang kerja di kelab malam itu. Demi cita - cita dan maruahnya, jenuh dia memikirkan alasan terbaik menangkis kehendak pakciknya. Tapi dia tidak berdaya. Malam ini pakciknya mengungkit lagi.
"Sudah! Pergi siapkan makanan. Kami dah lapar ni." arah Makcik Hajar.
Izzah melangkah ke dapur dengan linangan airmata. Makan malam perlu disediakan. Dia tidak mahu ada sepak terajang dan maki hamun lagi.
Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Izzah amat menggalakkan. Dia yakin salah sebuah pusat pengajian tinggi akan menerima permohonannya. Wang yang disimpan hasil kerja di kilang papan di sebelah kampung sementara menunggu keputusan peperiksaan masih ada. Walaupun sebagai kerani dan bergaji kecil tapi Izzah berjimat orangnya. Dia terpaksa menipu pakciknya dengan memberitahu gajinya hanya RM280.00 sedangkan sebenarnya ia mendapat RM400.00 sebulan.
Izzah sedar duitnya akan diambil oleh Pakcik Taha jika dia berterus - terang. Cita - cita Izzah amat tinggi. Impian keluarganya perlu dilaksanakan. Dia berharap wang simpanan itu apat menampung permulaan pengajiannya. Selepas itu, dia sudah merancang memohon biasiswa pula.
Malam itu, Izzah tidak dapat tidur. Walaupun penat seharian di tempat kerja dan melakukan kerja - kerja rumah namun matanya masih bulat merenung atap rumbia. Biasanya tidur Izzah lena walaupun beralaskan tikar mengkuang tapi kini dia gelisah memikirkan hari esok. Terasa ingin lari dari rumah. Tapi dia tiada kekuatan untuk melakukannya.
Esoknya, Izzah masih buat tidak endah. Dia nekad untuk membantah walau apa pun. Dia tidak peduli . Kata hatinya bulat. Seperti biasa dia menyediakan sarapan pagi untuk Pakcik Taha dan Makcik Hajar. Izzah melihat jam dinding sudah menunjukkan pukul 8.40 pagi. Masa untuk dia pergi kerja.
Izzah melangkah berjingit - jingit dan berhati -hati sekali. Dia tidak mahu Pakcik Taha nampak. Dia tahu, Pakcik Taha tidak akan memijakkan kaki ke kilang papan itu kerana hutangnya masih tertangguh dengan Pak Mustapha, penyelia di kilang itu. Izzah yakin dia akan selamat sekiranya sempat sampai ke kilang tanpa pengetahuan pakciknya.
"Izzah! Kau nak ke mana tu?" jerkah Pakcik Taha.
Langkah Izzah terhenti. Dap... dup... dap... dup... debaran dadanya terasa berbunyi.
"Kau jangan nak mengada - ngada. Tak payah pergi kerja. Aku dah pesan dengan anak si Nasir tu suruh dia beritahu ketua kau dah berhenti kerja. Masuk! Kejap lagi, kita pergi tauke tu."
Pakcik Taha mencekak pinggang dengan ekor mata yang garang. Makcik Hajar hanya tersenyum sumbing. Memang dia berharap sangat agar Izzah pergi dari rumah itu tapi dia takut Izzah akan merampas kebahagiaannya.
Makcik Hajar pernah memandang anak mata suaminya merenung tajam ke tubuh anak saudaranya itu. Perkara sumbang boleh terjadi memandangkan kini dia semakin dimamah usia. Tentulah suaminya memerlukan pucuk muda untuk melayani nafsunya. Sebelum sesuatu perkara buruk terjadi, dia mesti memaksa Izzah. Biar dia berambus dari sini.
"Izzah tak nak. Izzah nak belajar lagi, Izzah tak nak kerja kat situ." Lancar lidah Izzah berkata - kata. Dia menjadi lupa diri. Barangkali kerana semangatnya yang kuat untuk belajar. Hilang ketakutannya selama ini. Matanya jelas melawan renungan pakciknya.
Pang!!!!!!!!
Izzah terdorong ke belakang bila satu tamparan hinggap di pipinya. Dia dapat melihat Makcik Hajar hanya ketawa. Bukan sekali tapi dua kali pipinya menjadi mangsa kejam Pakcik Taha. Hidungnya sudah mengalir cecair merah. Kepalanya terasa berpinar - pinar.
"Cepat siap! Aku nak kau jumpa tauke tu. Pakai baju yang aku beli semalam. Bawak sekali kain baju kau," arah Pakcik Taha lagi. Suaranya semakin garang.
Izzah enggan. Masih terpacak di situ. Kali ini Makcik Hajar pula yang membelasahnya. Tubuh Izzah ditolak ke dinding. Izzah terduduk dengan rambut yang tidak terurus. Raungan Izzah tidak dipedulikan.
"Tolong Izzah pakcik, makcik, Izzah tak nak," rayu Izzah sambil teresak - esak.
"Cepat masuk! Pergi kemas kain baju kau," tengking Pakcik Taha sambil menanggalkan tali pinggang di seluarnya. Dia tidak peduli rayuan anak saudaranya itu.
Apabila terpandang sahaja tali pinggang, Izzah memejamkan mata dan ingin menyorok di tepi almari. Gigilan tubuhnya semakin nyata.
"Kalau kau tak nak kena tali pinggang aku ni, cepat masuk bilik. Kemas kain baju kau!"
Akhirnya Izzah terpaksa akur. Tiada siapa yang sudi menolongnya. Lemah langkahnya memasuki bilik. Pakcik Taha dan Makcik Hajar tersenyum sesama sendiri. Kemudian mereka terus ke dapur menjamah sarapan pagi yang sudah disediakan.
Izzah masih teresak - esak menangis di dalam bilik sambil mengemas kain bajunya. Setelah siap, dia berkurung di bilik sementara menunggu Pakcik Taha dan Makcik Hajar selesai sarapan.
"Izzah! Cepat! Aku dah siap ni. Kita pergi sekarang," jerit Pakcik Taha.
Izzah tersentak. Cepat - cepat dia mengesat airmatanya. Memandang sekeliling bilik. Seolah - olah inilah kali terakhir melihat bilik usangnya itu. Kemudian berjalan perlahan - lahan menjinjing sebuah beg.
"Hei bodoh! Kerja kat situ takkanlah pakai baju kurung. Tapi tak apa, nanti sampai sana kau tukar baju. Mari!"
Izzah tidak mempedulikan arahan Pakcik Taha sebelum ini. Baju kurung yang dipakainya masih kekal tersarung di tubuhnya. Sepanjang perjalanan airmata Izzah tidak henti - henti mengalir.
"Dah jangan menangis lagi. Kau nak aku sepak muka kau lagi ya?" keras suara Pakcik Taha memarahi Izzah.

Setelah empat jam perjalanan, akhirnya mereka sampai di destinasinya. Izzah masih lagi menangis. Dia ditarik kasar keluar dari kereta. Izzah terpinga - pinga. Berusaha melepaskan cengkaman pakciknya tapi tidak berjaya. seorang lelaki sudah menunggu dengan senyuman miang dan gembira sambil mengurut - ngurut misalnya.
"Tolonglah pakcik. Izzah nak balik. Izzah tak nak kerja kat sini," rayu Izzah tetapi tidak dihiraukan.
"Kalau kau tak nak buat apa yang aku suruh, aku akan jual kau terus pada tauke tu. Sekarang ni, aku cuma kau nak jadi pelayan kelab malan aje. Banyak dapat duit. Kau cantik. Aku yakin ramai yang kau suka kat kau nanti. Baik nasib kau, mungkin kau akan kahwin dengan lelaki kaya. Mereka yang datang kat sini semuanya banyak duit, kau tau tak."
Pakcik Taha mencengkam lengan Izzah dengan kuat. Kemudian dibawanya berjumpa dengan lelaki yang sedang menunggu.
"Taha! Wah, lu punya anak sedala banyak cantik ohh...."
Lelaki itu tersenyum sumbing sambil meratah wajah dan tubuh Izzah. Izzah ingin lari tetapi genggaman tangan Pakcik Taha amat kuat. Dia merasa takut dengan apa yang bakal terjadi sebentar lagi. Tangisannya tidak dipedulikan.
"Lu jaga dia baik - baik. Gua kasi dia kerja dekat kelab malam tu. Tapi, jangan lupa komisen gua tau."
Pakcik Taha melepaskan tangan Izzah dan tangan lelaki itu pula mengambil alih memegang kuat pergelangan tangan Izzah.
"Pakcik, tolong Izzah pakcik. Izzah tak nak kerja kat sini," rayu Izzah lagi.
Walaupun Pakcik Taha pernah cuba berbuat jahat dengannya tetapi dia tidak peduli. Dia ingin pulang. Tidak mahu melakukan kerja terkutuk ini.
Izzah meronta - ronta lagi. Bila dia berjaya menendang lelaki itu, satu tumbukan hinggap di perutnya. Izzah terduduk menahan sakit. Beberapa orang pemuda menghampiri Izzah dan mengheretnya ke kereta.
"Apa pasal awak tak kerja dengan kami. Gaji banyak an awk cuma layan mereka dengan baik. Kalau mereka berkenan mungkin awak akan dapat kemewahan."
Izzah tidak mendengar apa yang diperkatakan oleh lelaki itu. Bagaikan mencurah air di daun keladi sahaja. Airmatanya semakin deras mengalir..